Dialog antara agama memberikan beberapa faedah penting secara inklusif kepada semua penganut agama. Faedah yang paling utama adalah dapat menjelaskan kefahaman yang sebenar tentang agama dan isu-isu berkaitan kepada masyarakat khususnya kepada penganut agama yang berbeza. Perkembangan pesat teknologi maklumat dan sebaran am telah mewujudkan pelbagai medium penyampaian yang digunakan secara bebas oleh sesiapa sahaja dan kadangkala apa yang disampaikan tidak tepat dalam menjelaskan sesuatu khususnya yang berhubungkait dengan agama. Oleh yang demikian, cara ortodoks dengan bersemuka menerusi dialog samada bersifat formal atau tidak formal dilihat sebagai wahana yang tetap relevan dari dahulu hingga ke hari ini. Banyak isu-isu terkini yang berkait dengan agama dapat diperjelas dengan lebih berkesan menerusi dialog yang kadang-kandang tidak dapat disampaikan menerusi medium cetak dan elektronik.



Bahkan lebih daripada itu, dialog antara agama merupakan instrumen penyampaian yang terpenting kepada semua penganut agama untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah keburukan. Pendekatan dialog yang lebih bersifat pelbagai hala mampu menyebar luas seruan kebaikan dan perdamaian yang dapat menyelesaikan konflik antara agama.



Di samping itu, dialog antara agama membuka mata masyarakat supaya dapat memahami kepercayaan dan amalan penganut agama lain. Dengan yang demikian, anggota masyarakat akan lebih dapat memahami persamaan dan perbezaan yang wujud antara agamanya dan agama-agama lain, sekaligus dapat meningkatkan keimanan kepada Tuhan dan iltizam kepada nilai-nilai murni yang sememangnya dituntut oleh semua ajaran agama. Kefahaman yang jelas terhadap agama lain akan memastikan masyarakat tidak bersifat terlalu emosi dan membuat penilaian yang salah terhadap agama lain tanpa asas yang kukuh.



Bahkan juga dari sudut kemasyarakatannya, dialog antara agama dapat membina hubungan akrab antara masyarakat berbilang agama supaya dapat menjernihkan pertelingkahan dan konflik yang timbul. Dengan berdialog, keutuhan solidariti dapat dipertingkat dan membentuk masyarakat yang saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.


0 comments:

Post a Comment

About this blog

Pembaca Setia